SELANGOR FC
BERITA

Sukan SEA 2023 Telah Selesai!

May 17, 2023 - FAS

Pemain-pemain muda Selangor FC yang menyertai Sukan SEA 2023 telah kembali ke kem Gergasi Merah sejak dari hari Isnin minggu ini. Mereka dibawa pulang awal setelah tewas dalam saingan Kumpulan untuk menjalani sesi latihan bersama rakan sepasukan.

Dengan tempoh persediaan yang singkat, skuad bola sepak Malaysia berjaya mengumpul enam mata dalam perlawanan pusingan Kumpulan dan menamatkan kedudukan di tempat ketiga Kumpulan B sekaligus tidak dapat mara ke pusingan seterusnya dalam saingan Sukan SEA 2023. Berikut adalah keputusan perlawanan:-

Malaysia 5-1 Laos

Thailand 2-0 Malaysia

Malaysia 1-2 Vietnam 

Singapura 0-7 Malaysia

Mengikut data terkumpul, keenam-enam pemain muda Selangor FC berjaya sekurang-kurangnya beraksi tiga perlawanan dalam peringkat Kumpulan. Selain itu, Ruventhiran dan Harith Haiqal merupakan dua pemain Selangor FC yang tersenarai dalam kesebelasan utama dalam kesemua perlawanan.

Dua pemain tengah muda Gergasi Merah, Mukhairi Ajmal dan Syahir Bashah berjaya menjaringkan satu gol setiap seorang daripada 13 gol yang dijaringkan oleh skuad muda Malaysia.

Dalam masa yang sama, pemain import muda Selangor, Hein Htet Aung yang mewakili negara kelahirannya, Myanmar menamatkan kedudukan di tempat keempat saingan Sukan Sea 2023 secara rasmi selepas tewas ke atas Vietnam 3-1. Beliau juga berjaya beraksi dalam semua perlawanan dan menjaringkan satu gol menentang Kemboja.

Selangor FC berharap pengalaman yang mereka peroleh di saingan Sukan SEA 2023 dapat membantu pemain-pemain muda ini dapat mematangkan corak permainan mereka di masa akan datang.

Demi Kebanggaan!